Thursday, August 19, 2010

GEJALA BULI







Buli. Itulah isu yang sentiasa kita dengar sama ada dari berita ataupun surat khabar. Tetapi tahukah anda maksud sebenar buli? Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Selain daripada itu, buli juga bermaksud tingkah laku yang agresif sama ada secara fizikal atau psikologi ke atas mangsa secara berulang kali. Biasanya perbuatan buli ini akan didapati di sekolah sama ada sekolah rendah ataupun menengah. Secara keseluruhannya, perbuatan buli ini adalah tidak baik dan akan mendatangkan kesan sama ada kepada mangsa ataupun pembuli itu sendiri.

Pembuli biasanya terdiri daripada pelajar senior di sekolah tersebut. Ini adalah kerana mereka merasakan diri mereka adalah lebih besar dan kuat serta mempunyai pengaruh yang lebih hebat. Disebabkan mereka merasakan diri mereka adalah hebat, mereka akan mencari mangsa yang lebih lemah dan muda daripada mereka supaya mereka dapat menunjukkan kekuatan mereka. Selain itu, para pembuli juga akan bertindak dalam satu kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang. Ini akan memudahkan tindakan mereka dan memberi mereka lebih keyakinan diri untuk bertindak membuli orang lain.

Mangsa buli biasanya merupakan orang yang lebih junior dan lemah daripada pembuli. Mereka juga kelihatan lebih lemah dan biasanya bersendirian. Selain itu, ada juga mangsa buli yang merupakan budak baru dalam sesebuah sekolah. Mangsa buli juga merupakan seseorang yang disayangi guru dan popular di kalangan pelajar. Keadaan ini akan menyebabkan pembuli berasa cemburu dan iri hati terhadap mereka lalu cuba untuk menyakitkan mereka sama ada secara fizikal ataupun mental.

Faktor yang mendorong seseorang terjebak dalam aktiviti membuli adalah kerana pengaruh rakan sebaya. Terdapat pembuli yang mengikut jejak rakan mereka supaya mereka tidak berasa tersisih dan merasakan diri mereka masih tergolong dalam kumpulan itu walaupun mereka tidak ingin mencederakan orang lain dengan membuli. Ini adalah kerana mereka takut mereka akan disisihkan sekiranya mereka tidak mengikut perlakuan rakan mereka.

Selain itu, terdapat juga pembuli yang pernah menjadi mangsa buli. Ini adalah kerana mereka masih tidak dapat melepaskan diri daripada trauma terdahulu yang menyebabkan mereka menjadi pembuli. Mereka cuba melepaskan ketakutan dan keseksaan yang dialami terdahulu kepada mangsa mereka. Akan tetapi, pada masa yang sama mereka juga akan terkenang masa lampau mereka yang menyakitkan. Ini akan menyebabkan mereka berasa lebih menderita. Keadaan inilah yang menyebabkan mereka menjadi lebih agresif dan seterusnya menyebabkan mangsa buli mereka mengalami kecederaan yang lebih serius.

Keinginan untuk mendapat perhatian orang juga merupakan salah satu faktor penyebab berlakunya kejadian buli. Mereka ingin melakukan sesuatu yang dapat menarik perhatian orang lain terutamanya ibu bapa mereka yang selalu sibuk bekerja. Mereka kurang mendapat kasih sayang daripada keluarga dan ini akan menyebabkan mereka berasa kesunyian dan ingin mendapat kasih sayang daripada rakan-rakan dan guru mereka. Akan tetapi, mereka tidak mengetahui cara yang betul untuk meluahkan perasaan mereka. Selain itu, terdapat pembuli yang menghadapi masalah dalam keluarga mereka seperti pergaduhan ibu bapa dan penceraian ibu bapa yang akan menyebabkan mereka berasa tertekan dan tidak mengetahui cara yang betul untuk meluahkannya. Ini adalah kerana mereka takut sekiranya kelemahan dan masalah yang mereka hadapi diketahui orang lain akan menjatuhkan maruah dan ego mereka terutamanya kepada lelaki. Selain itu, pengaruh daripada media massa yang berunsurkan keganasan juga mendorong perbuatan buli. Orang ramai akan terdedah dengan unsur yang negatif ini dan ada di antara mereka yang mengikut perlakuan tersebut. Ini akan meningkatkan gejala buli di sekolah.

Pada era yang moden ini, pembuli bukan sahaja terdiri daripada lelaki. Ini adalah kerana terdapat perempuan yang menjadi pembuli yang lebih mengerunkan daripada lelaki. Mereka akan bersikap lebih ganas dan menakutkan dari sangkaan orang ramai. Akan tetapi, peratus pembuli di kalangan perempuan adalah lebih rendah berbanding dengan lelaki.

Perlakuan buli terdiri daripada 2 jenis iaitu buli fizikal dan buli mental. Buli fizikal merupakan buli yang boleh mengakibatkan kecederaan fizikal seperti pukul-memukul, memeras ugut, menampar, menendang, menarik rambut, menolak, mencubit, atau sepak teranjang yang boleh mengakibatkan kecederaan. Selain itu, buli fizikal juga boleh mengakibatkan kematian. Manakala buli mental pula merupakan perbuatan buli yang akan memberi impat dari segi psikologi seperti mengejek. Kes jenis buli ini jarang mendapat perhatian orang ramai, tetapi kes jenis ini berlaku dengan serius di sekolah.

Perbuatan buli ini akan memberi kesan sama ada kepada pembuli ataupun mangsa buli. Kesan luaran yang paling ketara yang akan dialami oleh pembuli ialah pembuli akan mempunyai rekod yang buruk di sekolah dan akan menjejaskan kehidupannya setelah meningkat dewasa. Mereka akan mengalami kesukaran untuk mencari pekerjaan dan ini akan mendorong mereka untuk menjadi penjenayah yang agresif. Mangsa buli pula akan mengalami kecederaan fizikal. Mereka juga akan menjadi pembuli kerana trauma yang mereka hadapi. Selain itu, mereka juga akan mencari mangsa lain untuk mendapat kembali harga diri mereka yang terjejas akibat dibuli. Mangsa buli juga akan mengalami kesan dalaman iaitu masalah psikilogi. Mereka akan hilang keyakinan diri serta tiada matlamat hidup dan mereka juga akan berasa takut untuk hadir ke sekolah. Selain itu, ada di antara mereka yang akan mencederakan diri sendiri kerana merasakan diri mereka tidak berguna lagi.

Terdapat pelbagai langkah yang boleh dilakukan untuk membendung gejala ini. Pihak sekolah harus mengetahui gejala buli yang berlaku di sekolah dan berusaha untuk membanteras gejala tersebut dengan mengetatkan pengawasan di sekolah serta menggiatkan aktiviti meronda di kawasan tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga harus mendidik pelajar tentang keburukan gajala buli sejak di bangku sekolah lagi. Hukuman yang lebih keras harus dikenakan terhadap pembuli supaya gejala ini dapat dibendung.

Ibu bapa juga harus memainkan peranan untuk membendung gejala ini. Ibu bapa harus mengambil berat akan anak-anak mereka dan memberikan mereka kasih sayang supaya mereka tidak berasa tersisih dan kesunyian. Ini akan membantu mengelakkan anak-anak mereka daripada terjebak dalam gejala buli. Ibu bapa juga harus mengetahui kegiatan yang berlaku di sekolah anak-anak mereka supaya mereka tidak bergaul dengan rakan yang akan mempengaruhi mereka ke jalan yang salah.

Selain daripada ibu bapa dan pihak sekolah, pelajar sendiri harus mengambil inisiatif untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala ini. Mereka harus meluahkan masalah yang mereka hadapi sama ada kepada ibu bapa mereka, rakan-rakan atau guru kaunseling. Ini boleh mengelakkan mereka daripada melakukan gejala yang tidak baik akibat tertekan. Mereka juga harus berfikir tentang baik dan buruk perlakuan mereka agar tidak memudaratkan orang lain.

Akhir kata, pencegahan gejala ini harus dilakukan oleh semua pihak dan bukan hanya satu pihak sahaja. Ini adalah kerana bak kata pepatah ''bersatu teguh, bercerai roboh''. Oleh itu, kita kenalah bersatu padu dan berganding bahu untuk membanteras gejala ini daripada berleluasa dan memudaratkan generasi akan datang.

0 comments:

Post a Comment

KESIMPULAN

Memang tidak dapat dinafikan bahawa tanpa kerjasama masyarakat kita,adalah mustahil untuk menghapuskan masalah sosial ke akar umbinya.Rukun Negara yang menjadi asas kewujudan hidup bermasyarakat di negara kita wajarlah diberi nafas baru.Prinsip pertama Rukun Negara yakni 'Kepercayaan Kepada Tuhan' sudah cukup untuk membendung pelbagai perlakaan negatif rakyat kerana insan yang takut akan Tuhan tidak akan tergamak untuk melakukan kejahatan!Justeru,kita hauslah sehati sejiwa dan seia sekata dalam usaha membendung segala ancaman yang menjadi hambatan kita ke arah pencapaian Misi Nasional dan Wawasan 2020.Di samping itu,kita juga harus berusaha ke arah mewujudkan sebuah masyarakat dan negarayang cemerlang,gemilang,dan terbilang yang boleh berdiri sama tinggi,duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.